Friday, January 28, 2011

Malam Belum Mahu Berbintang

Semalam adalah malam yang teramat panjang bagiku. Aku terlena tatkala malam baru mencecah angka sepuluh. Denyut pada kepala yang tak berhenti malah makin menderas menjadikan aku semakin tidak mampu mengangkat kepala. Aku cuba memegang dahi.. terasa urat-urat kepala semakin timbul dan bengkak. Datang lagi kesakitan ini. Aku paksa mata untuk pejam. Selubung seluruh tubuh sehingga ke kepala.

Angka 2.
Aku terjaga. Denyut yang makin mencengkam. Dan sentakan kenangan itu menusuk tepat ke dalam sanubariku. Nafasku sesak. Aku segera duduk dan melihat sekeliling bilik gelap itu. Tidak mampu aku menghela dan melepaskan nafas dalam tenang. Peluh semakin rancak. Aku bingkas cuba mencari jalan melegakan kesakitan yang maha dalam itu.

Angka 4.
Sekali lagi aku terjaga. Kali ini sentakan itu terlalu kuat dan menyakitkan. Sekaligus merentap nafas tenang dalam tidurku. Aku terduduk dalam usaha menghela nafas. Sesak. Senak. Sakit. Dan kepalaku semakin menggila. Tuhan... sesak sekali dada ini. Rongga nafas ini bagai sempit dihimpit.

Aku tidak mahu kembali lena.

Tidak mahu pejam mata.

Duduk berteleku dalam wuduk.

Air mata ini tidak mahu berdiam dan menyepi. Masih menari dalam nada sesak dan senak yang aku hadapi.

Sampai bila malam belum mahu berbintang. Hanya hujan badai yang tak putus datang.

** Masih keliru.

Thursday, January 27, 2011

SAYA GERAM!

Memang saya tahu kita hanya kawan dari mula lagi. Tak perlu tegaskan pada saya dalam ucapan selamat pagi. Entah kenapa walau hati saya pedih tiap kali mengenangkan kekosongan hati kamu pada pandangan mata saya ini, saya tetap mahu mengingati kamu. Ugh, saya sangat marah pada diri sendiri.

Mungkin kamu tak perlu tanya pada teman kita apa punca saya berdiam diri.

Mungkin yang perlu kamu buat adalah mengetuk hati kamu dan bertanya, mungkinkah kamu ada melukakan saya dalam sedar atau tidak.

Mungkinkah kamu ada mengusik hati saya dalam nada senda tawa yang bersisa?

Geramnya!

Fikir ba sendiri...

(Oh, saya tahu kamu takkan membaca penulisan saya)

Wednesday, January 26, 2011

Sila Faham

Kalau saya menyepi.
Bukan bermakna saya melarikan diri.
Bukan juga bermakna saya mahu terus mendiamkan diri.
Tapi mungkin, kamu boleh ambil masa dan berfikir.
Duduk dan imbas kembali.
Sila fahami keadaan saya.
Sebelum bertanya kenapa.
Sila lihat mungkin terlalu banyak sudah petanda yang saya beri.
Namun kamu masih tak mengerti.
dan hingga saat ini masih tidak mahu memahami.

Maka, ambil masa untuk bersendiri.
Berfikir dan datanglah kembali.
Hanya kalau kamu menghargai.
Jika tidak,
Biarkan saya sendiri.

Tuesday, January 25, 2011

Saya selayaknya Bahagia...

Hari ini saya mahu bicara tentang bahagia. Luas sekali erti bahagia dalam diari kehidupan saya sendiri. Untuk mengatakan saya tidak bahagia, saya bakal di gelar manusia tidak pandai mengucap syukur. Tapi betul... ada saat saya duduk sendirian dalam bilik tidak berjendela ini, dengan sayu hati yang kesepian. Lupa bahawa saya punyai ramai lagi yang membahagiakan saya. Yang pada paginya menghantar pesanan dalam nada riang.. bertanyakan pagi saya. Yang pada jam satu petang mengingatkan saya tentang makan siang saya.. Yang pada malamnya mengingatkan tentang makan malam dan mengucap selamat tidur..

Dalam melayan sepi, saya juga selalu lupa.. saya punyai mereka yang menghargai saya. Yang sentiasa bertanyakan perkembangan hati saya. Mahukan yang terbaik untuk saya.

Dalam nada ini, saya pasti apa yang saya putuskan ini adalah yang terbaik buat masa ini. Bagi memastikan saya kembali tenang dalam kecamuk perasaan.

Tidak wajar hanya kerana dia yang satu, saya merasakan dunia bagai sudah berakhir. Tidak wajar hanya dengan dia yang mendiam tanpa perasaan, saya merasakan sudah tidak ada yang kasih.

Saya selayaknya bahagia. Bukan hanya bercinta dan mencintai antara dua hati. Tapi juga menghargai kamu yang sekelian selalu bersama saya. Dalam apa juga nada, dalam apa juga rentak irama.

*** Kalian tahu kalian penting dan terlalu istimewa!
*** Special Thanks and Love to my Family and Friends!

Monday, January 24, 2011

Sejak Kebelakangan ini (9)

Hmm..
Macam mana hendak mulakan bicara yang tidak pernah ada perhentian ini.
Entah dalam nada apa lagi saya mampu bicara untuk dimengerti.
Semalam kamu buat saya berfikir.
Dalam sedar atau tidak.
Dalam nada tahu atau mahu.
Kamu menjauh dalam dekat.
Kamu merapat dalam ratap.
Ada detik saya rasa kamu tahu dan hargai.
Ada detik saya tahu kamu elak dalam pertanyaan yang pasti.
Ada juga detik kamu lembut dalam sayu pujuk hati yang satu ini.
Banyak waktu kamu lebih berdiam tanpa jawapan.
Banyak mengelak dari satu titik keputusan.
Kamu tahu dalam tangisan ini ada ratapan pinta dihargai.
Kamu juga tahu kasih ini semakin mekar dalam ketulusan yang tak bertepi.

Tapi..
Dalam tahu itu kamu masih ukir luka di hati ini.
Boleh kamu beritahu saya atas dasar apa kamu lakukan itu?
Kamu juga akan sepi.
Mengelak
Mengelak
Terus mengelak dalam memberi kata pasti.
Entah sampai bila.

** Jangan hilang baru mencari. Kala itu saya bakal pergi jauh dan takkan kembali.

Sunday, January 23, 2011

Hadiah Hari Lahir


Comel kan hadiah yang umi bagi saya? Pagi semalam sedang saya gosok baju, umi datang sambil senyum-senyum dan bawa satu kotak merah hati. Umi hulur pada saya dengan senyuman yang paling menawan. Saya sambut dengan mata kebil-kebil dan malu-malu..(dalam hati seronok tak terhingga).

Umi kata, bukalah tengok. Saya segera buka kotak tersebut dan ketawa dalam nada gembira. Umi tersengih-sengih menahan tertawa. Saya tak terkata. Umi berikan saya patung di gambar tu, yang ada kain untuk di gantung di dapur.. (untuk lap tangan.. comel!!!!). Dalam kotak tu, ada apron warna merah, dan juga sarung tangan warna maroon tu (untuk pakai masa angkat benda panas)....

Hm.. saya pandang umi dalam tawa yang masih bersisa dan tanya.. "motif?"

Umi sahut tawa saya dan senyum sambil angkat bahu. Saya peluk umi dan cium penuh kasih di pipinya. Sabar ya umi.. InsyaAllah Jodoh angah akan sampai...

:)

** I love u umi!

Friday, January 21, 2011

Sejak Kebelakangan ini (8)

Tuhan..
Rasa apa yang sedang bersarang dalam lubuk hati ini?
Kekalutan apa yang sedang saya tanggung ini?
Kegelisahan apa yang datang tanpa henti ini?

Awak...

Saya tak faham awak.
Saya tak tau macam mana untuk faham apa yang awak nak.
Saya tak pandai nak cari apa yang saya tak buat lagi untuk yakinkan awak.
Saya mungkin tak sama macam dia yang awak cinta hingga hari ini.
Tak sama juga macam dia yang awak sebut tiap kali kita berbicara hari-hari.
Tapi,
Untuk kesekian kali,
Cubalah belajar untuk mengerti dan memahami.
Belajarlah untuk menghargai dan meyakini.
Saya punyai hati.
Awak mahu biar saya terus berlari?
Atau awak mahu saya berhenti setakat ini?
Bicara supaya saya tahu apa yang awak mahu.
Agar saya mampu belajar melepaskan.
Mencari tenang dalam kalut yang meresahkan.

Dan saya..
Saya tak mahu mengejar bayang-bayang yang tak pernah berhenti berlari.
Saya tak mahu menghancurkan hati sendiri.
Cukup kisah lama yang begitu menyakitkan.
Kisah lama yang terlalu melukakan.
Yang mungkin awak tidak mahu tahu.
Yang mungkin awak bakal dengar dalam angin lalu.
Tapi derita yang saya lalui,
Terlalu panjang dan dalam.
Belajarlah untuk mengambil sedikit dalam banyak.
Memahami derita dalam lautan bahagia.
Untuk awak menerima seadanya.


*** Keluh lagi untuk kesekian kali.

Entah bila akan berakhir.

Entah bila agaknya yang melakukan ini akan mengerti.
Akan faham bahawa kami sedang bersedih.
Akan sedar bahawa kami ini menangis dan meratapi kesakitan jiwa yang semakin sepi.
Bagaimana untuk aku sendiri memberi sedar dalam lena panjangnya?
Aku semakin letih Tuhan..
Aku semakin putus segala nadi harapan.
Pedih.
Tiap kali hela nafas ini ditarik dan dilepas.
Bagai terlalu berat dan keras.
Cukuplah.
Belajarlah untuk menghargai kami.
Kami kasih.
Kami cinta.
Tapi kami juga punyai hati.
Punyai jiwa.
Belailah kami.
Sentuhlah hati kami dengan kasih sayangmu.
Berikan kami ruang merasai cintamu.
Hentikanlah derita ini.
Mengertilah wahai hati kamu.
Kami perlukan kamu lebih dari berdiam diri.
Kami perlukan kamu lebih dari memerhati.
Kami perlukan kamu untuk satu kehidupan yang panjang.
Dengarlah.
Suara hati yang takkan mampu aku sampaikan dengan bicara.
Kerana kamu takkan pernah mahu mendengar dan memahami.
Entah bila kecewa ini akan terhenti.
Entah bila rasa ini akan berakhir.
Noktah yang kami nanti.

** I love u.

Wednesday, January 19, 2011

Please ba...

Please ba..
Awak sorang je yang boleh tolong saya..
Saya dah cerita semua kegusaran saya, kan?
Awak faham kan?
Please ba Ihsan..
Please ba..
Awak kan sayang saya?
Saya pun sayang awak satu dunia penuh.
Awak kawan saya dunia akhirat.
Awak banyak tolong saya.
Saya takkan lupa.
Saya selalu bawa ketulusan hati awak ke mana juga saya pergi.
Please..
Please ba ihsan..
Awak boleh tolong saya kan?
Tolong saya ya..? ya?

** kebil-kebil mata comel saya.

Tuesday, January 18, 2011

Saya Bakal Pergi...

Saya bakal pergi ke satu tempat baru.
Itu yang saya tahu.
Tapi, saya juga tahu tempat itu bukanlah tempat yang baik dari apa yang digambarkan.
**Takut
Kalau saya keluh kesah.
Saya nampak seperti tak pandai mengucap syukur dalam hati yang lapang.
Apakah ini permulaan yang baru dan lebih baik?
Apakah ini permulaan yang bakal mengubah apa yang perit pada yang indah?
**Serabut
Atau saya suka meletakkan diri saya dalam kalut sebelum melangkah masuk?
Kamu semua mungkin tahu saya insan yang bagaimana dari penulisan saya yang tidak seberapa ini.
Kenapa hati saya resah gelisah mendengar perkhabaran tadi?
Aduhai.
Kuatlah hati.
Saya akan lebih tenang dan lebih bahagia.
Biar apa juga yang bakal berlaku.

**Amin...

Monday, January 17, 2011

Sejak Kebelakangan ini (7)

Awak,
Boleh tak awak pandang muka saya sambil cakap apa awak rasa?
Saya bingung awak.
Awak selalu buat saya tertanya-tanya.
Saya bukan nak awak cakap awak sayang saya.
Saya bukan nak awak cakap awak perlukan saya.
Cuma beri saya satu jawapan.
Ke mana hala kita.
Semalam kan awak..
Saya dah buat keputusan.
Saya bagi awak masa uruskan apa yang perlu sekarang ni.
Dalam masa yang sama, saya akan terus berusaha mencari ke mana arah kita.
Awak perlu berubah.
Belajar dari kesilapan yang lama.
Awak ingat janji awak pada saya?
Awak kata "Min, saya nak kenal-kenal. Tak lama min."
Saya pegang janji tu, awak.
Jangan ulang lagi kealpaan awak yang dulu.
Yang sengaja tidak tahu dalam tahu pada mereka.
Awak sendiri cakap awak silap.
Awak sendiri cakap awak lambat.
Mungkin saya tidak sehebat mereka.
Tidak secantik dan sebijak mereka.
Tidak punyai serba-serbi yang boleh kamu banggakan acap kali menyebut tentang saya.
Bukan wanita yang mampu kamu dabik dada dalam nada cerita.
Tapi saya punyai hati ini.
Yang mampu beri awak kasih dalam ketulusan cinta.
Yang mampu ikhlas dalam tiap nada bahagia.
Tolong percaya saya bukan seperti yang lain.
Tolong beri saya kesempatan untuk rasai bahagia yang kekal bersama kasih yang awak ada untuk saya.
Jangan awak.
Jangan jadikan dia penghalang kita.
Dia kisah lama yang panjang.
Beri saya peluang rasai tenang...

Dan awak,
Selepas saja masa yang saya berikan itu terhenti.
Saya bakal pergi.
Tanpa lagi saya menoleh penuh cinta pada awak.
Saya mahu berhenti.
dari mengharap sesuatu yang tak pasti.


*** Bingung.

Semoga kamu tenang.

Hari ini saya tersentak lagi dari tidur yang seharusnya lena dan tenang. Saya tidak mampu pejam mata kembali. Tidak mahu mimpi itu mengganggu tidur saya. Saya takut. Terlalu takut dengan mimpi yang hadir. Dada saya senak dan sakit sekali. Entah bagaimana untuk saya perincikan kesakitan ini agar kalian mampu mengerti... Berdebar tiap kali mahu memejam mata kembali.

Saya masih merenung siling bilik. Mengharapkan tidur ini berakhir dengan baik sekali. Entah kenapa, fikiran saya terus terbang pada kamu. Entah mampukah kamu tidur kala ini? Siang yang penuh kepedihan buat kamu tadi mencengkam sanubari saya. Kesepian kamu dari membalas persoalan saya juga merunsingkan saya..

Saya tahu kamu terlalu kasihkan dia, sayang.
Saya tahu kamu terlalu butuh perhatian darinya.
Tapi kamu juga tahu dia bakal pergi bersama yang lain..
Dia bakal bina satu ikatan yang tak mampu kamu sangkal kekuatannya.
Perkahwinan dia dan pilihan keluarga.
Titik terakhir dalam segala persoalan hati kalian.
Kamu betul sayang..
Apabila kamu melepaskan dia.
Meletakkan noktah dalam tegas walau pedih.
Kamu benar sayang..
Dalam mendiam tanpa menjawab panggilan dan pertanyyan dia.
Kamu perlu lakukan ini.
Untuk kali terakhir.
Agar penderitaan kamu berhenti.
dan kesakitan kamu pergi.
Dan kamu bakal temui yang baru.
Atau juga yang lama.
Yang akan beri kamu sinar dalam cahaya bahagia.
Bertahanlah sayang.
Jangan kamu buka ikatan yang kamu simpul dan genggam.
Kamu bakal tenang.
Percaya saya.


** Semoga kamu tidur lena Aznee Ahmad.

Saturday, January 15, 2011

Sukarnya perjalanan memahami hati seorang Min.

Saya kembali menulis. Rasa hati yang takkan mungkin dimengerti.
Saya tidak mahu memaksa rasa yang sama.
Letih berputar dan bermain rasa hati yang semakin kalut dalam pencarian yang hilang.
Sukar agaknya memahami hati saya ini.
Sukar agaknya menyelam jiwa yang semakin sepi ini.
Dalam tawa yang panjang, saya punyai masa silam yang menyakitkan.
Dan dalam memadam kesilapan lampau..
Saya kehilangan satu kekuatan yang perlu dikumpul rapi.
Digumpal dan diikat penuh kukuh dalam sanubari.
Setiap saat yang saya lalui dalam nafas hari-hari..
Adalah detik yang mengharapkan pengertian dari kamu..
Oh ya, kamu!
Kerana untuk dimengerti oleh hanya satu nyawa, mungkin takkan saya perolehi sampai bila-bila.
Sangat sukar memahami saya agaknya.
Kamu beleklah hati ini.
Lihat calar dan robek luka yang semakin parah ini.
Entah bagaimana untuk saya rawat kelukaan yang semakin dalam ini.
Sukarnya perjalanan memahami hati seorang saya.
Entah bila bakal ada yang mengerti.
Membaluti dan menampal hati yang berkecai.
Menjadi satu yang kekal.
Dalam nada cinta dan kasih sayang....

Friday, January 14, 2011

Menangislah.

Walau duduk dalam ramai di kedai mamak sambil minum dengan yang lama, rasa hati ini tidak mampu menahan sebak yang disiat-siat bersama sayu yang maha dalam mendengar sendu di talian sana. Ada kesedihan dan keperitan yang tak terucap dari nada itu. Ada getar yang cuba kamu sembunyikan dalam tawa yang di buat-buat tatkala pujuk cuba saya nyanyikan.

Penderitaan kamu terlalu panjang dan menyakitkan. Tidak tertanggung dek bahu yang memikul. Tidak tertahan dek telinga yang mendengar... Tidak sekali-kali mampu difahami dan dimengerti seperit apa yang dilalui.

Menangislah kerana kamu berhak melepaskan kesakitan itu. Dan apabila kamu berhenti dengan sendu terakhir, hela kan nafas lega dan ingatlah, dalam ramai yang menjauh, dalam banyak yang menolak, dalam ada yang membuang.. saya kekal di sini. Untuk kamu.

Thursday, January 13, 2011

Biarkan saya terus terlena.

Saya tersentak lagi dari lena yang panjang dengan dada yang berdebar dan nafas yang menghela tanpa tenang. Puas saya menenangkan diri namun degup jantung yang semakin laju mengatasi ketenangan perasaan yang sedang saya ciptakan.

Entah sampai bila sentakan ini perlu berlanjutan. Peristiwa itu telah terlalu lama dan terlalu perlu saya buang jauh. Entah siapa akan faham kekalutan rasa yang sedang resah menggarap setiap rongga pernafasan saya.

Kali ini saya bingkas dan menyalakan lampu bilik. Takut mahu terus memejamkan mata. Lalu saya bingkas menulis selepas menadah tangan dan memohon ketenangan darinya.

Kamu tahu tak? Sakit sungguh dada ini tiap kali saya cuba bernafas. Ulu hati saya bagai dicucuk- cucuk sembilu yang tajam dan memedihkan. Dan ya, derita ini telah menjangkau belas tahun untuk saya lalui sendiri. Mungkin ada yang tahu derita jiwa ini.. tapi mengetahui tak sama dengan merasai.

Cukuplah...
Tak perlu lagi menyerang tidur saya. Berikan saya sedikit kesempatan untuk lena yang tenang dan panjang.

Tolong.. saya pohon agar pergi jauh dari malam-malam tidur saya.
Hentikan derita yang menyesakkan rongga nafas saya.
Saya mahu tidur.
Lena.
Tenang.
Mimpi indah tanpa ganggu.

** Mata masih tak mahu pejam.

Wednesday, January 12, 2011

My Angel



Saya sebak ketika menulis ini. Semoga perpisahan ini bukanlah satu kesakitan yang panjang.

Bila saya diberitahu Wawa (adik saya yang bertudung biru itu) akan masuk ke asrama, hati saya terus pedih.. rasa bagai ada sesuatu yang menikam terlalu dalam.

Bila semalam, saya lihat dia dan umi sibuk memasukkan baju dan barangan ke dalam beg besar lagak mahu pergi jauh dan lama-lama, saya terus masuk ke bilik dan tidak mahu melihat apa yang berlaku di ruang tamu rumah. Kekecohan dan gelak tawa yang di depan bagai kesakitan yang amat pilu untuk saya gambarkan.

Bila pagi tadi saya mahu melangkah pergi ke pejabat Wawa memeluk saya erat, saya menahan sebak, sekadar mengusap dan mengucup dahinya sebelum berjalan terus tanpa lagi menoleh padanya yang melambai, saya terlalu sedih.

Mungkin ada yang akan ketawa dengan penulisan ini.. Tapi jujur, saya sedang merasai kehilangan yang terlalu besar dan menyakitkan.. Wawa takkan ada lagi menyambut saya di muka pintu sambil berlari memeluk saya erat. Wawa takkan ada lagi untuk membuka pintu kereta dan meminta wang belanja aiskrimnya. Wawa sudah jauh dari membantu saya yang keletihan mengmbil barang dari dalam juita..

Saya sedang menenangkan hati.. bahawa Wawa perlu perjuangkan masa depan yang masih terlalu panjang. Dan... saya korbankan "baby gurl" kesayangan saya untuk Wawa bawa ke asrama. Semoga Wawa akan mengingati saya sentiasa.

"Angah rindu awak. Rasa nak nangis ni. Mesti sunyi balik kerja nanti.. Sigh.."

Monday, January 10, 2011

Sejak Kebelakangan ini (6)


"We cannot do great things on this Earth, only small things with great love... happy birthday u......."

Saya dapat hadiah terbaik. Dari kamu semua. Terima kasih atas ingatan dan kasih sayang yang kalian berikan.

Saya pasti akan terus menulis dan menulis..
Walau anadai satu saat nanti tiada lagi yang mahu membacanya.

Saturday, January 8, 2011

08.01.11

Satu lagi langkah. Pertambahan yang membahagiakan untuk hari yang indah dan harapan yang tinggi menggunung.

:)

Sunday, January 2, 2011

Calar Hati Umi

Entah kenapa sudah seminggu kekusaman ini berlarutan. Sedih. Hiba. Dari 2010 di bawa ke 2011.. mungkin dari 1980 di bawa ke 2011 juga kekal sama.. Entah bagaimana untuk saya usahakan lagi ... melahirkan faham dan patuh pada yang lapan.. Entah dengan cara apa lagi perlu saya lakukan untuk menjadikan yang renggang kembali utuh? Tersepit. Siapa yang faham apa yang saya jiwai? Tiada.

Sebak.. bertahun lamanya saya cuba menyelami hatinya.. di hujung hari ini saya dikatakan tidak memahami...

Tuhan.. ujian apa lagi untuk umi yang semakin berusia..
Calar apa lagi yang tercakar di hati umi?
Kasihan umi Ya Allah..
Berikan umi sedikit tenang dalam ketawa yang sebenar.
Bukan lagi senyum dalam keterpaksaan..

Kepada yang sembilan..
Ukirkan bahagia untuk umi.
9 bulan 10 hari...
Pengorbanan setiap nafas yang berlari..
Hentikan walau setitis air mata yang bakal mengalir..

Kepada yang satu..
Mencintai tidak berhenti di sini..
Tolong.. saya mohon
Hargai umi.. seperti mana umi sentiasa menghargai kamu...
Kasihi umi ...seperti mana umi sentiasa mengasihi kamu...
Sanjungi umi... seperti mana umi sentiasa menjulang kamu...

Dengarlah wahai kalian..
Suara hati bersama tangisan..
Jangan akhiri cinta yang kita perjuangkan..

** Love my family!

Sejak Kebelakangan ini (5)

Mungkin untuk kelima kali ini, kamu masih tidak akan membaca penulisan saya. Tapi saya masih mahu menulis tentang kita.. kamu dan saya.. moga-moga satu hari nanti kamu akan bersedia, membaca coretan hati saya tentang kamu.

Semalam adalah terindah dalam kesakitan yang sedang berdarah.
Kamu tahu kenapa?
Kerana kamu hadir tatkala air mata ini berkinja mahu tumpah dan bernanah.
Hati ini berlagu tapi wajah tak mampu menggambarkan girang yang menyanyi.
Saya tidak mampu melihat wajah kamu..
Sehingga saat kamu katakan rasa itu..
**rupanya kamu tahu saya tidak mahu memandang mata itu.
Dan apabila dalam lagu bual kamu, ada rasa yang cuba kamu sampaikan pada hati yang satu ini..
Saya mulai faham..
Cara kamu.
Keinginan kamu.

Tuhan.. keindahan yang satu ini jangan hanya satu detik dalam malam yang tidur.
Saya pernah berkata...walau bahagia hadir bersama dia untuk seketika..
Jangan diambil ia pergi.
Tidak sekali lagi.

(** Tolong saya mengejar cinta)

Saturday, January 1, 2011