Sunday, February 14, 2010

Kawin di mata saya (1)

Saya masih kecil ketika kali pertama saya 'terjebak' dalam alam kawin-kawin ini. Lelaki yang saya kenali sebagai ZAKI ini sangat comel dan merupakan sepupu kepada sepupu saya. Kami selalu berjumpa kalau hari raya. Erm... masa kami umur 12-13 tahun, ZAKI selalu ikut keluarga kami beraya pada hari raya kedua.

Perkahwinan kali pertama kami.. haha.. masa tu, kami lepak-lepak dekat longkang besar belakang rumah arwah nenek; kami duduk sebelah-sebelah dan saudara kami yang seorang lagi cabut rumput yang panjang macam lipan. sy pegang hujung kanan dan dia pegang hujung kiri. Kami tak pegang tangan!!! Pegang rumput je.. :P dan kami main langkah-langkah longkang.

Masa tu rasa gembira sgt. Lepas tu, ZAKI ambik rumput lain dan simpul-simpulkan jadi cincin, ZAKI sarungkan pada jari saya. Kami kawin dah masa tu! Haha..

Sejak tu, kalau kami jumpa, kami akan malu-malu. Tak nak cakap dan dah tak lepak sama-sama. Bila dah besar.. umur dah 15 tahun, ZAKI dan saya makin renggang. Bila saya tanya umi kenapa ZAKI sombong umi kata, ZAKI dan baligh.. dah tak boleh main macam dulu-dulu.
Mana ZAKI sekarang? saya dah lama tak dengar cerita. Tapi tak boleh lupa, paling malu bila saya dalam bilik mandi, ZAKI tak tahu dan terus rempuh masuk. Nasib saya cuma tengah basuh muka... huhu.. malunye....

Thursday, February 4, 2010

Permata Yang Hilang

Tuhan
Kesilapan ini datang dari diri sendiri
Bukan dari dia atau mereka.
Biar mereka terus bahagia...

Tuesday, February 2, 2010

Merdekakah hati?

Saya bercakap tentang kemerdekaan negara pada penulisan sebelum ini. Tetapi hari ini saya menulis tentang kemerdekaan hati. Hati saya masih belum merdeka dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling saya. Semangat saya semakin hilang dengan melihat hati mereka yang suram dan sepi. Saya hanya anak. Titik.

Saya menulis bukan untuk yang lain yang saya kira akan membaca dan mulai mengata tentang ini.(dan ada yang telah melompat dengan penulisan saya- kalau tak suka jangan baca)

Institusi keluarga bukan lagi satu institusi harmoni yang pernah saya lalui bertahun dahulu. Apa yang ada di depan mata, pada dekat dan pada jauh. Pada keliling dan pada keadaan yang disiarkan di dada akhbar bukanlah satu keharmonian. Perpecahan keluarga sedang berlaku di sana sini dan saya tidak mahu perpecahan berlaku dalam keluarga saya.

Saya melihat dan membaca blog mereka adik-adik saya.. yang ada hanya penulisan tentang hati mereka. Yang ada hanya penulisan tentang pilihan cinta mereka. Tentang kebahagiaan dan kesyukuran pada nikmat yang mereka ada. Tetapi saya tidak mampu menulis itu lagi. Saya terperangkap dalam jaringan sepi dan sayu ini. Ini soal masa depan yang masih berkejar-kejar tiap jam 5 petang. Ini tentang dia yang sedang berjuang untuk periksa pertama dalam sejarah kehidupan.

Peranan saya? Saya telah cuba dan jari yang empat masih menuding diri sendiri dan satu pada saya. Yang baik dikatakan "buat-buat baik". Saya harus lakukan itu buat masa ini. Ketika ini saya sedang menarik nafas dalam terik dan pedih menahan air mata yang hampir menitis. Perjuangan memerdekakan hati yang semakin hari meronta ini mungkin akan melalui liku yang panjang.

Tetapi masih ada yang mampu senyum dan melihat tanpa suara. Meneruskan hidup tanpa rasa.

Perjuangan yang belum selesai

Persepsi saya sebelum pergi kursus kenegaraan adalah sangat negatif. Saya pergi tanpa rela dan hanya untuk tujuan melengkapi keperluan PTK.

Hari pertama & Kedua

Kami diberi ceramah tentang tanah air, kerajaan, rakyat dan kedaulatan. Satu ceramah yang saya kira membuka mata saya tentang apa yang sedang berlaku di Malaysia. Tentang bagaimana tanah air hari ini sedang dilanda perpecahan yang sekiranya tidak di bendung mungkin bakal mengimbau sejarah 13 Mei 1969. Saya jadi takut dan mulai berfikir.. apa akan jadi pada anak bangsa.. pada bumiputera yang selama ini dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sekiranya kontrak sosial, pakatan murni tidak difahami dan dihayati lagi oleh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bangsa saya sendiri.

Hari Ketiga dan Keempat

Kami memulakan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang memberi ruang kepada kami untuk menyuarakan pandangan tentang isu Perkara 153, Perkara 3, Perkara 181, Perkara 152 dan Perkara 14 di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulan yang saya dapat buat hanya satu... anak-anak Malaysia telah lama melupakan sejarah. Perkara berkaitan Kontrak Sosial ini tidak di fahami dan dihayati oleh rakyat Malaysia sendiri tidak kira, bumiputera, atau bukan bumiputera dan yang paling menyedihkan.. ia tidak dihayati sendiri oleh bangsa Majoriti Malaysia "MELAYU".

Saya percaya sekiranya rakyat memahami sejarah, tidak ada perkara buruk akan berlaku. Tidak ada pertikaian tentang Agama Islam sebagai agama Persekutuan.. Tidak akan timbul isu Hak-Hak Istimewa orang melayu dan bumiputera... tentang Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.... kerana Perkara 14 telah menerangkan tentang isu kewarganegaraan bangsa cina dan India yang bersama Malaysia.

BTN bukan kursus untuk mengkerajaankan rakyat.. tetapi satu usaha untuk memberi peluang kepada kami untuk berfikir dan menghayati bagaimana sukarnya kemerdekaan itu dicapai. Bagiamana nenek moyang kita telah bersusah payah menggadai nyawa darah dan harta benda demi kemerdekaan yang satu.

Hari ini, merdeka tidak di sambut dengan nyanyian kedamaian NEGARAKU tetapi hanya dengan konsert di merata tempat dengan anak muda berkeliaran di serata ibu negeri dan ibu negara. Melaungkan merdeka sambil menogok arak dan berpesta di kelab-kelab malam. Penghayatan telah hilang. Bendera Malaysia sendiri pernah di bakar oleh anak bangsa. Jiwa anak bangsa telah dikaburi dek kesenangan masa hari ini... Penderitaan dan air mata Almarhum Tunku Abdul Rahman dan perjuangan Dato Onn tidak lagi meninggalkan kesan di hati anak Malaysia hari ini.

Saya khuatir satu hari nanti dengan pelbagai agenda dan pertikaian antara bangsa-bangsa di Malaysia, negara luar akan mengambil peluang membedil dan menjajah Malaysia. Saya takut... kemerdekaan hanya dapat dirasakan setakat ini dan kita terpaksa berjuang semula.

Sejarah itu penting untuk difahami dan dihayati.
Tanpa sejarah, hari ini mungkin takkan sama seperti semalam.
Takkan sama seperti esok.
Dan esok mungkin akan hilang dari pandangan.
Bersama sejarah penderitaan yang baru.

Saya sedar...
Perjuangan kita masih belum selesai.