Wednesday, October 28, 2009

Aku

Aku. Hamba yang kerdil.
Aku. Anak kepada umi dan ayah.
Tapi,

Aku. Bukan hanya kakak kepada kamu yang lapan.

Aku. Pekerja kepada mereka yang masih ragu pada kemampuanku.
Aku. Penghutang kepada bank yang memberi pinjaman padaku.
Aku. Menulis untuk tujuan yang satu.
Aku. Sahabat kepada semua kawan-kawanku.
Aku. Kekasih pada yang satu.
Aku. Adik pada kakakku.
Aku. Rakan perniagaan pada kamu dan kamu.

Jadi,

Jangan kamu anggap aku hanya untuk kamu.
Aku untuk semua tanggungjawabku.
Aku untuk masa yang makin menentu.


*Ini hasil perbualan aku dengan seorang rakan. (kamu tahu kamu siapa)

Sunday, October 25, 2009

Retak hati kami

Kalau dulu, aku cuma sedih tengok mereka berdua pulang kerja keletihan. Mungkin ada masa umi pening dan terbaring. Ayah balik dan terus tidur kepenatan berkejar memenuhi tuntutan kerja. Tapi, dua hari ni aku terduduk melihat ayah terbaring..sakit. Muka lesu dan pucat. Ayah tak pernah begini. Ayah jarang sekali terlantar tak bermaya. Aku tahu ayah runsing. Memikirkan isa. Memikirkan asma dan hafsah. Mungkin jiwa tua itu sudah letih berfikir. Sekarang ayah. Kalau umi juga sakit..macam mana? Wardah dan hayan masih kecil.

Dan orang yang aku harapkan untuk memahami dugaan yang aku lalui...lebih mahu dimengerti. Hati dan perasaan jadi perkiraan pertama. Bukan lagi berkongsi segala bersama.

Tuhan. Kalau KAU mahu duga kami seleluarga, biar aku laluinya. Bukan umi..bukan ayah. Mereka terlalu banyak berkorban untuk nyawa kami yang sepuluh.

Ayah..cepat sihat. Tak sanggup lagi lihat ayah kesakitan.
Umi.. angah kebuntuan.

Friday, October 23, 2009

Telefon sudah mahu di buang jauh!

Nak merajuk. Tak nak reply apa-apa sms minta duit atau topup. Tak nak peduli dah. GERAM.

Thursday, October 22, 2009

Pilihan atau Memilih

Siapa kata dalam hidup kita ada banyak pilihan? Aku tak nampak relevan pernyataan pilihan ni. Kadang-kadang memang ada orang yang bernasib baik, yang boleh buat apa juga pilihan dalam hidup..mencorakkan hidup sendiri seprti yang dikehendaki. Tapi, ada juga yang tak boleh buat pilihan..dan kadang-kadang tak ada pilihan pun untuk di putuskan.

Mudah. Aku masuk ke TIKL bukan kerana aku mahu tapi kerana umi mahu aku belajar jurusan elektrical di sekolah lamanya. (dulu umi sekolah TIKL). Lepas ke TIKL.. aku masuk Uitm Shah Alam jurusan undang-undang- juga atas pilihan ayah. Bekerja- kerajaan- juga atas pilihan keluarga. Memuaskan hati orang tua tak salah kan? Membahagiakan mereka tak salah kan? Jadi kenapa ada manusia - manusia sekeliling yang pertikaikan keputusan yang aku buat? Titiknya di situ aku telah buat satu pilihan. Memilih untuk menyenangkan hati kedua orang tuaku. Itu pilihan aku.

Melihat adik-adik yang membesar di zaman ayah sudah mampu beri sedikit kesenangan, umi sudah mampu titip wang tiap kali di sms... aku sedikit keliru. Anak-anak ini tidak diberi satu titik untuk membuat pilihan. Mahu mendengar kata atau kata-katanya di dengar? Sudah pandai mahu pilih untuk belajar atau tidak. Sudah pandai mahu pilih mahu berhenti universiti ini, masuk universiti itu. (Mungkin rasa hebat dengan bunyi universiti luar negara yang tak tentu lagi ada MQA atau tidak). Anak-anak sekarang sudah pandai memilih untuk bercinta atau tidak. Untuk beritahu ibu ayah ke mana mahu pergi atau tidak. Itu pilihan zaman sekarang. Hairan. Mungkin kalau ibu ibu ayah ayah yang boleh memilih.. sudah lama memilih untuk berhenti memberi wang saku. Berhenti mengeluarkan belanja untuk sekolah. Berhenti untuk bekerja keras.

Tapi.. itu bukan pilihan mereka. Kerana itu ibu ayah ku doakan syurga...

Tuesday, October 20, 2009

Awan tenggelam bintang

Tikaman ini terlalu tajam.
Menusuk dan merobek.
Bintang semakin menghilang.
Awan semakin kelabu.
Hujan semakin lebat.
Kota ini telah tenggelam.
Bersama sejarah semalam.

Titik Noktah Berlari

Dalam hidup, manusia perlu lakukan perubahan. dari yang biasa kepada yang lebih baik. Aku mungkin belum mampu mencapai puncak perubahan yang terbaik. Tetapi aku masih mencuba dan sedang mencari diri. Duduk dan berfikir apa sebenarnya yang aku mahu dalam hidup. Sampai bila aku harus bersembunyi di balik kehidupan lampau yang sering aku jadikan noktah dalam menggerakkan perubahan. Titik yang aku lakarkan mungkin perlu aku padamkan. Beri peluang pada diri untuk merasai dan memahami hidup dengan cara yang mudah. Hentikan bait kesakitan yang semakin bernanah.

Tapi, ada kalanya aku ketakutan. Takut pada apa itu tidak dapat aku huraikan. Saat ini aku masih mencipta kekuatan. Hidup bukan untuk di tangisi tapi untuk diperjuangkan. Dan perjuangan aku bukan sekadar di sini. Kerana perjalananku masih panjang.

Monday, October 19, 2009

Terdesak Mendesak

Soalan yang aku sedang mencari jawapannya.
Banyak persoalan aku sedang fikirkan.
Kenapa tidak menjadi diri sendiri?
Perlu @ tidak seseorang itu memilih antara sahabat dan cinta.
Terdesakkah seseorang bila mempertahankan perhubungan yang terbina.
Ini bukan hanya pada cinta.
Ini pada semua.
Ada jawapan untuk aku?

Thursday, October 15, 2009

Tak tahan tahap max!

Aku memang tak faham dengan sesetengah orang yang tak pernah nak belajar bersyukur dengan apa yang dia ada dalam hidup. Kau nak apa lagi? Tak cukup dapat kerjaya yang baik? Tak cukup dapat perempuan yang 'boleh aku kata sebagai baik' dalam hidup kau?

Eh, kalau tak boleh nak menghargai orang sekeliling kau.. pergi duduk sendiri-sendiri. Jangan kata nak bercinta.. jangan kata nak berkawan.. itu bukan dunia kau. Dunia kau hanya tentang diri kau.

Cukuplah. Aku dah letih dengan manusia macam kau ni.

Wanita untuk disakiti?

Aku dikejutkan dengan keadaan seorang rakan baik yang ketika ini sedang hamil dan dilanda dugaan yang maha hebat. Aku terdiam bila ada yang menyampaikan khabar.

Pada si suami: Cukuplah. Isteri kamu perlu dikasihi. Bukan untuk disakiti lagi dan lagi.

Pada si isteri: Kamu wanita hebat. Jangan sesekali kamu kalah pada hati.

Wednesday, October 14, 2009

Perempuan Cemburu

Hey kamu si pencemburu.
Jangan ingat aku mahu semua yang kau perlu.
Jauh.
Aku suruh kau jauh.
Cukup tuding jari yang satu pada aku.
Yang empat ada pada kamu.

Kamu.
Tinggal serumah sekatil
Masih berkata menangkis menepis.
Jangan ingat perempuan aku si tolol bodoh.
Layar skrin papar nyata.
Kamu mahu kata aku yang dusta?
Hey.
Aku tak mahu apa yang kamu perlu!
Jadi berhenti menuduh berhenti cemburu buta.

Jauh.
Noktah papar semua perhatian.
Titik minta yang lain-lain beri keputusan.
Kamu jangan minta simpati pada cerita yang kamu bohong satu persatu.
Aku belum mahu hilang sabar.
Jangan jadikan aku sebagai kamu.
Bertopengkan pelakon sandaran!

Aku bukan perempuan yang kamu bisa kata cerca tak tentu hala.
Hey..
Apa yang kamu ada..
Tidak mahu aku jilat ludah yang ke lantai.
Jangan kamu cemburu pada perempuan aku.

Jangan kamu jadi perempuan cemburu sambil pejam mata.

Bulan merajuk...

Bulan merajuk malam semalam. Puas aku tinjau sambil membalikkan badan tapi bulan masih tak mahu muncul. Jadi aku cuba nasib pada bintang. Masih kelam. Yang ada hanya langit hitam. Guruh berdentum dan air mata mencurah dari langit yang luas terbentang. Mungkin ada yang bersedih malam semalam...Dan alam mendengar keluhan..

p/s: semalam aku tenang..mungkin kalian sedang kedukaan.. jangan sedih ya..

Tuesday, October 13, 2009

Tepuk amai-amai

Aku mahu lari laju.
Atau mungkin boleh terbang tinggi
Gapai bintang sambil menari irama alam.
Kerana aku semakin kehausan.
Makin letih dengan gendang manusia irama sumbang.
Irama kamu,kamu dan kamu.
Gegendang pecah kaki berdarah.
Aku bosan dengan helah.
Bosan dengan sumpah janji.
Kilat petir mungkin terpanah.
Pergi mati!

Monday, October 12, 2009

Terjun lombong emas

"memahami dan bertolak ansur tu penting min..." kata seorang kawan siang tadi. aku mengiyakan. jauh dalam benak hati , aku berbisik sendiri..kalau semua dah diberi, masih juga kisah yang sama berulang..aku pun boleh bosan. bosan dengan keadaan. bosan dengan masalah yang sama berulang macam tape rosak yang aku nak tengok semalam. aku bukan tujukan pada isu cinta kali ini. aku cuba faham yang semua orang sibuk. aku cuba faham yang semua orang ada komitmen. aku cuba faham yang semua orang mahu uruskan kehidupan masing-masing. tapi, aku tak faham kenapa orang tak mahu faham aku. *sigh

Thursday, October 8, 2009

Ini kisah persahabatan

*Kesal* itu saja yang aku mampu cakap bila orang tanya pasal persahabatan. Kenapa kesal? sebab aku dah sampai ke tahap penat *kalau ade termometer yang boleh ukur-mesti dah pecah*. Tak sayang kawan ke aku ni? Tak mungkin. Sebab aku tau aku hargai kawan-kawan aku. Terutamanya kawan-kawan yang berkawan dari zaman *kena denda lari padang pakai panties sebab tak bawa baju sukan untuk pj* Tapi, mungkin sebab aku sendiri, kawan-kawan berpisah kemudian menghilang.

Kawan-kawan zaman kena denda lari padang dulu semua dah berjaya dengar katanya. Ada yang dah kawin ada yang dah bertunang *tapi ada yang tak jemput majlis* ada yang sedang menempa nama. Alhamdulillah...gembira dengar perkembangan mereka. Semoga mereka terus berjaya dan bahagia.

Kawan-kawan yang di tempat aku belajar kira tiang elektrik semalaysia, juga semua dah ada haluan masing-masing. Ramai yang dah ada anak dan ramai yang tengah sibuk nak bina bahagia. Alhamdulillah juga kerana mereka diberikan bahagia.

Kawan-kawan di zaman *histeria di kolej delima uitm shah alam semua dah menghilang. satu pun aku tak dengar berita. Banyak yang berlaku. Mungkin kudis lama masih tak sembuh lagi.

Kawan-kawan yang di masa *love & betrayal- LLB (Hons) aku semua dah pegang jawatan besar. Ada juga yang sedang bina kerjaya. Baguslah. Alhamdulillah dan semoga anda terus berjaya.

Kawan-kawan di zaman aku mencipta nama dan kerjaya.. semua sibuk dengan dunia sendiri selepas * budak gred L41 disepahkan semalaysia. Tapi Kami masih selalu ber FB- (alamak ..waktu kerja la tapi)...

Masih ada kawan-kawan sejak kecil yang sering berhubung dan aku mahu kalian tahu aku hargai setiap ingatan. Kepada kawan-kawan yang pernah terasa hati, termakan hempedu hasil hejahilan aku... aku pohon maaf dan aku harap persahabatan tidak kira di mana peringkat sekalipun kita berjumpa akan kekal sehingga aku tiada lagi. Dan ketika itu, aku harap kalian ada untuk sedekahkan aku Al-Fatihah dalam aku bersemadi.

p/s : Sayang semua kawan-kawan!

menangislah

Hari ini manusia menangis dan terus menangis.
Tangisan mengejar dunia yang semakin hilang.
Menangis dan menangislah kerana kudrat yang tiada menghulur bantuan.
Menangis dan menangislah kerana akhirat yang makin tiba.
Tapi.. menangislah bersama doa.
Sentiasalah percaya Allah itu bersama kita.

Wednesday, October 7, 2009

Saya mahu jadi Dia

" Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah"

-Hadith Riwayat Muslim

Tuesday, October 6, 2009

Selamat Pergi Cinta (5)

saya tidak tahu banyak tentang cinta.
saya pernah merasainya sekali atau dua.
tapi saya tahu cinta itu bukan sekadar derita.

hari ini langit mendung

Mungkin suasana kempen pilihanraya
Buat manusia-manusia di sini hilang punca
Pening tengok semut berbaju biru ke hulu ke hilir
Yang baju putih berdiri di setiap penjuru warna tiga jalan raya
Yang menulis sibuk mengejar.
Yang mengambil gambar sentiasa sampai awal.
Hai manusia.
Politik ini menjelikkan.

Monday, October 5, 2009

sayabencikamu!

saya benci kamu.
saya benci kamu.
saya benci kamu.

Pergi.

Jangan datang lagi.

Sunday, October 4, 2009

Selamat Pergi Cinta (4)

aku: saya tidak mahu lagi berfikir tentang cinta.

dia: cinta itu sebahagian dari hidup. mahu atau tidak, kamu akan tetap melalui, merasai dan mengenali cinta. kamu perlu tahu...cinta bukan hanya pada manusia.

aku: saya tahu itu. semua orang bercakap perkara yang sama. cinta pada Allah , Rasulullah s.a.w & Malaikat...itu selamanya. Cinta pada umi dan ayah..itu kekal dan abadi... cinta pada keluarga.. itu akan saya pastikan teguhnya... cinta pada persahabatan...itu tonggak nadi... cinta pada kerjaya... itu keperluan.. cinta pada manusia? kamu tahu apa maksud saya.

dia: kamu perlu melihat apa yang berlaku dalam kamu mencintai seseorang sebagai pembelajaran kehidupan. kamu belajar bagaimana disakiti..bagaimana dikhianati..bagaimana dicemburui.. kamu belajar bagaimana indahnya diberi perhatian.. diletakkan bagai permaisuri.. kamu belajar dihargai.. dan kamu juga belajar.. didustai.. dihina dan dimaki, diberikan janji tak pernah dikotai, ada juga cinta mengajar hinaan dinodai.. cinta itu luas.. kamu perlu faham itu.

aku: C.I.N.T.A- apakah cinta membenarkan kita melukakan tanpa alasan? meninggalkan parut yang terlalu dalam dan tidak akan pernah mampu di rawat lagi. siapa kata cinta melayakkan sesiapa menghina dan memaki? siapa kata cinta menghalalkan lebam-lebam lakar pada diri? siapa kata cinta membenarkan kejujuran dipandang sepi? siapa kata??

dia: beri masa pada diri kamu. ambil sebanyak masa yang kamu mahu. biar akal kamu menguasai jiwa kamu. biar hati kamu diajar satu persatu.

aku: berhenti mencari kesilapan saya. berhenti meletakkan saya seperti perempuan hina tanpa agama. berhenti mensabitkan saya tanpa sebarang bukti nyata. berhenti berkata-kata menghina. saya bukan malaikat diciptakan untuk menjadi sempurna.

Friday, October 2, 2009

Selamat Pergi Cinta (3)

aku : letih bercinta ni.

dia: kenapa?

aku: macam-macam. kena jaga hati, tak boleh buat itu tak boleh buat ini, kena punch card, siapa kawan awak tu? kenapa awak rapat dengan dia ni? awak asyik kerja..tak ada masa untuk saya.. RIMAS.

dia: jadi, cinta itu bagi awak 'complicated'?

aku: mungkin.

dia: awak serik?

aku: saya letih. berkenalan, menghargai, menyayangi..kemudian bertengkar, silap sana silap sini.. ada pengakhiran yang memutuskan segalanya. cinta itu memenatkan.

dia: awak ada bercakap tentang percaya, kan?

aku: ya, kenapa?

dia: dia kata dia berani kerana dia tidak ada buat sebarang kesilapan. tidak pernah punyai hubungan dengan sesiapa. dia hanya keluar untuk kerja.

aku: dengan kata lain, dia mahu katakan saya yang tidak jujur, saya yang selalu tidak mampu beri masa, saya yang boleh dipertikaikan perbuatan?

dia: saya tak tau.

aku: noktah itu sudah kali keempat saya lakarkan. mungkin saya perlu lakarkan yang ke lima?

dia: kadang-kadang emosi bisa buat kita lupa. pada cinta yang pernah indah dan bahagia.

aku: saya masih cinta dia.

dia: memaafkan itu perlu.

Thursday, October 1, 2009

Selamat Pergi Cinta (2)

aku: awak tahu apa maksud percaya dan jujur?

dia: tahu.

aku: apa?

dia: susah nak jelaskan.

aku: jadi, awak jujur pada saya?

dia: kenapa mempertikaikan kejujuran saya?

aku: kerana adanya tidak percaya.