Wednesday, July 23, 2008

Apabila aku Bergelar perempuan...

Perempuan,satu terma yang kukira agak jauh dari satu bicara perundangan..Ada apa pada perempuan? Melihat pada hari-hari yang aku lalui dalm hidup, tidak adil untuk aku meletakkan semua perempuan di tempat aku dan tidak juga menjadi satu kesalahan untuk membanding bezakan kehidupan perempuan itu dan aku. Duduk aku di satu sudut fakulti sekadar memerhati dan menghabiskn hari melihat sesuatu yang hidup…perempuan.

Terlalu indah seorang perempuan itu. Dari lenggok jalannya, dari senyum bibirnya, dari gerak percakapannya, dari huraian rambutnya, dari lipatan tudungnya, dari jelingan manjanya hingga menung dalam kebosanannya, hingga basah birai mata kerna tangisnya dan hingga pada gelagat terjatuhnya. Segalanya yang aku perhatikan terlalu indah membuatkan aku bersyukur dilahirkan menjadi seorang perempuan. Namun, kerna mejadi perempuan, terlalu banyak yang perlu aku persoalkan. Tawa perempuan pastinya membahagiakan tetapi mengapa perlu ada bait tangis dalam hidup seorang perempuan?

Tidak untuk aku nafikan kesedihan insan bergelar lelaki tetapi sekadar menyatakan satu realiti,air mata dan perempuan dikatakan bak irama dan lagu. Kadang-kadang aku kesal dengan kedudukan perempuan di mata masyarakat. Yang lemah itu perempuan, yang bersedih juga perempuan, yang menjadi ibu tunggal juga perempuan, yang didera juga perempuan, yang di tindas pastinya perempuan dan yang akhirnya mengalirkan air mata juga adalah perempuan.
Wahai perempuan, Lihatlah sekeliling dan fahamilah kehidupan memerlukan perempuan agar menjadi sekuat dan setabah Siti Khadijah, yang mempunyai cinta agung pada Allah dan Rasulullah. Setiap butir hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah. Menjadi penawar hati Rasulullah dan setia bersamanya ketika susah atau senang. Hidup memerlukan jiwa seorang perempuan sekuat Siti Aishah, seorang wanita bijak yang menjadi pendorong kesabaran Rasulullah. Bernamanya kita sebagai perempuan, kagumilah pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah yang sentiasa akur pasa setiap perintah. Tidak namanya hidup jika segalanya sempurna tetapi apa juga ertinya hidup jika segalanya dipertikaikan atas nama perempuan.

Wahai Lelaki, Lihatlah ke dalam mata hati kami, hargailah jiwa seorang kami. Kerana perempuan adalah ibu, perempuan juga adalah isteri. Dari perempuan juga lahirnya cinta dan kasih hakiki. Kerana apabila aku bergelar perempuan, aku tidak sekali-kali mahu tergadai segala atas nama cinta, berserah menyerah tanpa diubat iman teguh.

Tidak sekali kerana menjadi perempuan, merasakan esok bagai tiada lagi kerana apabila aku bergelar perempuan, nafasku demi hidupku, senyumku demi impianku, kasihku hanya pada yang SATU, taatku pada orang tuaku, jujurku pada persahabatanku dan ikhlasku dalam setiap langkahku…kasihilah aku…hargailah aku..hormatilah aku…bukan hanya kerana aku perempuan tetapi kerana aku seorang insan.

No comments: