Saturday, January 15, 2011

Sukarnya perjalanan memahami hati seorang Min.

Saya kembali menulis. Rasa hati yang takkan mungkin dimengerti.
Saya tidak mahu memaksa rasa yang sama.
Letih berputar dan bermain rasa hati yang semakin kalut dalam pencarian yang hilang.
Sukar agaknya memahami hati saya ini.
Sukar agaknya menyelam jiwa yang semakin sepi ini.
Dalam tawa yang panjang, saya punyai masa silam yang menyakitkan.
Dan dalam memadam kesilapan lampau..
Saya kehilangan satu kekuatan yang perlu dikumpul rapi.
Digumpal dan diikat penuh kukuh dalam sanubari.
Setiap saat yang saya lalui dalam nafas hari-hari..
Adalah detik yang mengharapkan pengertian dari kamu..
Oh ya, kamu!
Kerana untuk dimengerti oleh hanya satu nyawa, mungkin takkan saya perolehi sampai bila-bila.
Sangat sukar memahami saya agaknya.
Kamu beleklah hati ini.
Lihat calar dan robek luka yang semakin parah ini.
Entah bagaimana untuk saya rawat kelukaan yang semakin dalam ini.
Sukarnya perjalanan memahami hati seorang saya.
Entah bila bakal ada yang mengerti.
Membaluti dan menampal hati yang berkecai.
Menjadi satu yang kekal.
Dalam nada cinta dan kasih sayang....

Friday, January 14, 2011

Menangislah.

Walau duduk dalam ramai di kedai mamak sambil minum dengan yang lama, rasa hati ini tidak mampu menahan sebak yang disiat-siat bersama sayu yang maha dalam mendengar sendu di talian sana. Ada kesedihan dan keperitan yang tak terucap dari nada itu. Ada getar yang cuba kamu sembunyikan dalam tawa yang di buat-buat tatkala pujuk cuba saya nyanyikan.

Penderitaan kamu terlalu panjang dan menyakitkan. Tidak tertanggung dek bahu yang memikul. Tidak tertahan dek telinga yang mendengar... Tidak sekali-kali mampu difahami dan dimengerti seperit apa yang dilalui.

Menangislah kerana kamu berhak melepaskan kesakitan itu. Dan apabila kamu berhenti dengan sendu terakhir, hela kan nafas lega dan ingatlah, dalam ramai yang menjauh, dalam banyak yang menolak, dalam ada yang membuang.. saya kekal di sini. Untuk kamu.

Thursday, January 13, 2011

Biarkan saya terus terlena.

Saya tersentak lagi dari lena yang panjang dengan dada yang berdebar dan nafas yang menghela tanpa tenang. Puas saya menenangkan diri namun degup jantung yang semakin laju mengatasi ketenangan perasaan yang sedang saya ciptakan.

Entah sampai bila sentakan ini perlu berlanjutan. Peristiwa itu telah terlalu lama dan terlalu perlu saya buang jauh. Entah siapa akan faham kekalutan rasa yang sedang resah menggarap setiap rongga pernafasan saya.

Kali ini saya bingkas dan menyalakan lampu bilik. Takut mahu terus memejamkan mata. Lalu saya bingkas menulis selepas menadah tangan dan memohon ketenangan darinya.

Kamu tahu tak? Sakit sungguh dada ini tiap kali saya cuba bernafas. Ulu hati saya bagai dicucuk- cucuk sembilu yang tajam dan memedihkan. Dan ya, derita ini telah menjangkau belas tahun untuk saya lalui sendiri. Mungkin ada yang tahu derita jiwa ini.. tapi mengetahui tak sama dengan merasai.

Cukuplah...
Tak perlu lagi menyerang tidur saya. Berikan saya sedikit kesempatan untuk lena yang tenang dan panjang.

Tolong.. saya pohon agar pergi jauh dari malam-malam tidur saya.
Hentikan derita yang menyesakkan rongga nafas saya.
Saya mahu tidur.
Lena.
Tenang.
Mimpi indah tanpa ganggu.

** Mata masih tak mahu pejam.

Wednesday, January 12, 2011

My Angel



Saya sebak ketika menulis ini. Semoga perpisahan ini bukanlah satu kesakitan yang panjang.

Bila saya diberitahu Wawa (adik saya yang bertudung biru itu) akan masuk ke asrama, hati saya terus pedih.. rasa bagai ada sesuatu yang menikam terlalu dalam.

Bila semalam, saya lihat dia dan umi sibuk memasukkan baju dan barangan ke dalam beg besar lagak mahu pergi jauh dan lama-lama, saya terus masuk ke bilik dan tidak mahu melihat apa yang berlaku di ruang tamu rumah. Kekecohan dan gelak tawa yang di depan bagai kesakitan yang amat pilu untuk saya gambarkan.

Bila pagi tadi saya mahu melangkah pergi ke pejabat Wawa memeluk saya erat, saya menahan sebak, sekadar mengusap dan mengucup dahinya sebelum berjalan terus tanpa lagi menoleh padanya yang melambai, saya terlalu sedih.

Mungkin ada yang akan ketawa dengan penulisan ini.. Tapi jujur, saya sedang merasai kehilangan yang terlalu besar dan menyakitkan.. Wawa takkan ada lagi menyambut saya di muka pintu sambil berlari memeluk saya erat. Wawa takkan ada lagi untuk membuka pintu kereta dan meminta wang belanja aiskrimnya. Wawa sudah jauh dari membantu saya yang keletihan mengmbil barang dari dalam juita..

Saya sedang menenangkan hati.. bahawa Wawa perlu perjuangkan masa depan yang masih terlalu panjang. Dan... saya korbankan "baby gurl" kesayangan saya untuk Wawa bawa ke asrama. Semoga Wawa akan mengingati saya sentiasa.

"Angah rindu awak. Rasa nak nangis ni. Mesti sunyi balik kerja nanti.. Sigh.."

Monday, January 10, 2011

Sejak Kebelakangan ini (6)


"We cannot do great things on this Earth, only small things with great love... happy birthday u......."

Saya dapat hadiah terbaik. Dari kamu semua. Terima kasih atas ingatan dan kasih sayang yang kalian berikan.

Saya pasti akan terus menulis dan menulis..
Walau anadai satu saat nanti tiada lagi yang mahu membacanya.

Saturday, January 8, 2011

08.01.11

Satu lagi langkah. Pertambahan yang membahagiakan untuk hari yang indah dan harapan yang tinggi menggunung.

:)

Sunday, January 2, 2011

Calar Hati Umi

Entah kenapa sudah seminggu kekusaman ini berlarutan. Sedih. Hiba. Dari 2010 di bawa ke 2011.. mungkin dari 1980 di bawa ke 2011 juga kekal sama.. Entah bagaimana untuk saya usahakan lagi ... melahirkan faham dan patuh pada yang lapan.. Entah dengan cara apa lagi perlu saya lakukan untuk menjadikan yang renggang kembali utuh? Tersepit. Siapa yang faham apa yang saya jiwai? Tiada.

Sebak.. bertahun lamanya saya cuba menyelami hatinya.. di hujung hari ini saya dikatakan tidak memahami...

Tuhan.. ujian apa lagi untuk umi yang semakin berusia..
Calar apa lagi yang tercakar di hati umi?
Kasihan umi Ya Allah..
Berikan umi sedikit tenang dalam ketawa yang sebenar.
Bukan lagi senyum dalam keterpaksaan..

Kepada yang sembilan..
Ukirkan bahagia untuk umi.
9 bulan 10 hari...
Pengorbanan setiap nafas yang berlari..
Hentikan walau setitis air mata yang bakal mengalir..

Kepada yang satu..
Mencintai tidak berhenti di sini..
Tolong.. saya mohon
Hargai umi.. seperti mana umi sentiasa menghargai kamu...
Kasihi umi ...seperti mana umi sentiasa mengasihi kamu...
Sanjungi umi... seperti mana umi sentiasa menjulang kamu...

Dengarlah wahai kalian..
Suara hati bersama tangisan..
Jangan akhiri cinta yang kita perjuangkan..

** Love my family!

Sejak Kebelakangan ini (5)

Mungkin untuk kelima kali ini, kamu masih tidak akan membaca penulisan saya. Tapi saya masih mahu menulis tentang kita.. kamu dan saya.. moga-moga satu hari nanti kamu akan bersedia, membaca coretan hati saya tentang kamu.

Semalam adalah terindah dalam kesakitan yang sedang berdarah.
Kamu tahu kenapa?
Kerana kamu hadir tatkala air mata ini berkinja mahu tumpah dan bernanah.
Hati ini berlagu tapi wajah tak mampu menggambarkan girang yang menyanyi.
Saya tidak mampu melihat wajah kamu..
Sehingga saat kamu katakan rasa itu..
**rupanya kamu tahu saya tidak mahu memandang mata itu.
Dan apabila dalam lagu bual kamu, ada rasa yang cuba kamu sampaikan pada hati yang satu ini..
Saya mulai faham..
Cara kamu.
Keinginan kamu.

Tuhan.. keindahan yang satu ini jangan hanya satu detik dalam malam yang tidur.
Saya pernah berkata...walau bahagia hadir bersama dia untuk seketika..
Jangan diambil ia pergi.
Tidak sekali lagi.

(** Tolong saya mengejar cinta)

Saturday, January 1, 2011

Friday, December 31, 2010

Selangkah Menuju Baru

Hari ini terakhir untuk tahun ini. Terlalu banyak yang terjadi dan terlalu banyak yang menjadi memori jiwa. Menoleh dari Januari ke Disember.. kisah satu dua dan tiga.. Semuanya punyai tanda dalam benak dan lubuk jiwa.

Moga malam ini detik 12 menyinggah ke 1 Januari 2011, bakal menjadi mula dalam bahagia yang sering dicari dalam kabus yang tebal.

Punyai matlamat dan agenda yang dirangka. Moga bahagia dan jaya itu menjadi memori jiwa sepanjang 2011. Jangan lagi ada derita yang dicari sendiri.. Kalau ia derita, biarlah hadir tanpa diri mencari.

Kepada yang mencoretkan diari bahagia saya... kalian terbaik dalam hidup saya.
Kepada yang mengalirkan air mata derita saya... terima kasih atas rasa yang menyakitkan.. yang pasti memberikan saya talian kekuatan...

Selamat Tinggal tahun ini..

Selamat datang tahun mendatang.

Cinta jangan hilang.